Friday 20 May 2011

metro -Bukan penghujung


Oleh Nur Lela Zulkipli
am@hmetro.com.my
     
SHAH ALAM: Kegagalan buah pinggang yang ditanggung sejak berumur 11 tahun tidak memutuskan semangat Fatin Adibah Mohari, 22, untuk menuntut ilmu apabila menerima Diploma Pengajian Perniagaan pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-74 Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersama-sama 1,169 graduan lain, di sini, semalam.
“Saya mengetahui buah pinggang bermasalah ketika berumur 11 tahun dan selepas lima tahun, doktor memaklumkan kedua-dua buah pinggang rosak dan terpaksa melakukan dialisis untuk mencuci buah pinggang saya.

“Pada mulanya memang susah nak sesuaikan diri, tetapi ibu sentiasa menolong lakukan dialisis sampai saya berani dan cukup matang untuk lakukan sendiri,” kata gadis bertubuh kecil ini yang kelihatan ceria dan normal seperti gadis lain.
Menurutnya, dia cuba sedaya upaya untuk menghadirkan diri ke kelas walaupun badannya lemah kerana penat berulang-alik dari rumah dan kampus selain penyakitnya yang memerlukan masa agak lama untuk melakukan dialisis empat kali sehari.

“Saya hampir putus asa untuk meneruskan pelajaran, tetapi ibu dan ayah tidak putus-putus memberikan semangat kepada saya serta abang dan kakak yang sentiasa berada di sisi saya apabila saya memerlukan pertolongan.

“Bagi saya, penyakit yang saya tanggung ini bukanlah penghujung hidup kerana masih mempunyai keluarga yang menyayangi saya,” katanya yang bercita-cita menjadi pegawai pemasaran suatu hari nanti.
Cabaran terbesar yang dialami Fatin Adibah ketika belajar apabila saraf matanya mulai rosak ketika semester terakhir pengajiannya dan kanta khas terpaksa digunakan kerana penglihatannya terlalu kabur sehinggakan cermin mata biasa tidak dapat membantunya.

“Saya terpaksa meminta pensyarah menggunakan tulisan yang besar daripada biasa untuk kertas peperiksaan kerana saya tidak dapat melihat jika tulisan biasa digunakan,” kata anak bongsu dari empat beradik ini.
Fatin Adibah kini berjaya melanjutkan pelajarannya ke tahap Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Peruncitan di UiTM Shah Alam dan masih menunggu gilirannya mendapat buah pinggang yang sesuai selepas berada dalam senarai menunggu.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grocery Coupons