Wednesday 18 May 2011

Kenyataan Mufti Perlis : Satu Penjelasan{isu:menentang penyatuan PAS dan UMNO)

  1. Saya merujuk kepada kenyataan Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya yang disiarkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia pada hari ini. Beliau dilaporkan berkata mana-mana pihak yang menentang penyatuan di antara UMNO dan PAS ialah pengkhianat kerana al-Quran sendiri telah memerintahkan supaya umat Islam bersatu dan Islam perlu ditegakkan.
  2. Dengan bersangka baik kepada Sohibus Samahah Mufti Perlis, saya menganggap kenyataan tersebut separuh masak atau sengaja dilaporkan separuh masak untuk meletakkan persepsi bahawa Mufti Perlis menghentam pihak-pihak tertentu khususnya di dalam PAS yang menentang penyatuan PAS dan UMNO.
  3. Perlu diingat, PAS melalui pemimpinnya termasuklah Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat telah berkali-kali menyatakan bahawa penyatuan di antara PAS dengan UMNO boleh berlaku bila-bila masa DENGAN SYARAT UMNO MENGUBAH DASAR KEPADA ISLAM. Ini boleh dirujuk di muka hadapan Sinar Harian, Rabu 14 Julai 2010 yang lepas.
  4. Sekiranya seseorang itu dianggap Islam melalui syahadahnya, maka syahadah sesebuah pertubuhan ialah perlembagaannya. Adakah UMNO telah bersyahadah di dalam perlembagaannya?
  5. Persoalannya, bagaimanakah PAS boleh bekerjasama dengan DAP dan PKR di dalam Pakatan Rakyat? Hakikatnya DAP dan PKR tidak menolak prinsip Islam yang dibawa oleh PAS dan tidak mendesak supaya PAS menggugurkan dasar perjuangannya selama ini.
  6. Mufti Perlis seharusnya memberikan komen apakah hukum kerjasama di antara UMNO dengan MCA apabila Presiden MCA menyatakan dengan jelas bahawa mereka boleh menerima kehadiran PAS di dalam BN tetapi DENGAN SYARAT PAS MENGGUGURKAN AGENDA PERJUANGAN NEGARA ISLAM. Utusan Malaysia selaku akhbar yang membela agama, bangsa dan negara juga boleh turut mengulas isu ini. Jika pihak Mufti Perlis berminat untuk mendapatkan kenyataan ini, saya sedia membekalkan salinan laporan akhbar New Straits Time pada 2 Mei 2011 yang lepas di muka surat 9 untuk rujukan pihak Mufti Perlis. Atau saya menukilkan semula bahasanya untuk rujukan : “However, party president Datuk Seri Chua Soi Lek said PAS had to first set aside its agenda to turn the country state into an Islamic State before it could sit down and talk with UMNO about any possible return to the Barisan Nasional fold..”
  7. Begitu juga dengan cadangan MCA untuk menyaman kerajaan negeri Kelantan sekiranya terus menguatkuasakan undang-undang menghalang premis judi beroperasi, apakah hukumnya UMNO selaku rakan kongsi MCA dalam Barisan Nasional membisu seribu bahasa?
  8. Justeru, saya berharap agar Mufti Perlis dapat mengemukakan pelan cadangannya secara terperinci agar dapat difahami dengan jelas letak duduknya kenyataan beliau. Hakikatnya, PAS tidak pernah meletakkan ke tepi agenda perpaduan umat Islam tetapi perlulah diletakkan Islam sebagai dasar terlebih dahulu.
Sekian, wassalam.

Ahmad Fadhli bin Shaari,
Setiausaha Akhbar,
YAB Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 4 Mei 2011 / 1 Jamadil Akhir 1432  

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grocery Coupons