Sunday 15 May 2011

148,500 TEMPAT UNTUK LEPASAN SPM ATAU SETARAF DI IPTA KUALA TERENGGANU

Sebanyak 148,500 tempat disediakan untuk pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) atau setaraf dengannya untuk melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tahun ini.
Jumlah itu merupakan sebahagian daripada 469,500 tempat secara keseluruhan yang disediakan kepada mereka
selain di Institusi-institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan peluang-peluang pendidikan lanjutan lain seperti ke
Tingkatan Enam, Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia dan Program
Persediaan ke Luar Negara secara tajaan.
Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, daripada jumlah 148,500 tempat itu,
pengambilan asasi di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan melibatkan 14,000 tempat, Diploma IPTA 34,000
tempat, Diploma Politeknik 51,000 tempat, Sijil di Kolej Komuniti 11,000 tempat manakala Sijil di Institut Latihan
Kemahiran Awam (ILKA) sebanyak 38,500 tempat.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Perasmian Pelancaran Karnival Jom Masuk U kali ke-7 di
Terengganu Trade Centre (TTC) baru-baru ini. Turut hadir ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.
Khaled juga memberitahu, Karnival Jom Masuk U pada tahun ini buat pertama kalinya akan menawarkan program
sijil dan sijil lanjutan. Ini berikutan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah diberikan mandat untuk mengendalikan
Pusat Pengambilan Setempat untuk program Sijil dan Sijil Lanjutan selain Diploma dan Diploma Lanjutan yang
ditawarkan oleh 27 Institut Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional atau TEVT dan Institut Latihan Kemahiran
Awam (ILKA).
Dalam majlis itu juga, Khaled mengumumkan keputusan Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengarusperdanakan
program pengajian diploma di IPTA sebagai salah satu usaha memperkasakan program diploma.
Dengan cara ini katanya, program diploma akan menjadi salah satu pilihan pelajar lulusan SPM atau setaraf
dengannya bagi melanjutkan pengajian, menyediakaan feeder atau pembekal bagi melahirkan graduan
kemahiran/teknikal di universiti-universiti teknikal selain memartabatkan program diploma dengan mendapat
pengiktirafan daripada badan profesional dalam dan luar negara.
Selain itu, katanya beberapa cadangan pelaksanaan yang bersesuaian sedang dikaji antaranya memperkenalkan
program-program baharu di IPTA dan juga Politeknik.
Khaled berharap dengan adanya program-program baharu yang mesra pasaran ini, minat pelajar semakin
bertambah untuk memilih pengajian diploma.


0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grocery Coupons