Saturday 4 June 2011

Jawapan Kepada Dr. Mahathir

Cetak



Kuala Lumpur, 25 Februari 2011 - Kenyataan  Dr. Mahathir dalam entrinya bertajuk ‘Jawapan Kepada Nik Aziz’ di blognya menyerlahkan lagi ketidak fahaman beliau terhadap perjuangan PAS di Malaysia. Tuduhan bahawa PAS parti Nasionalis dan menggadaikan prinsip apabila berkawan dengan bukan Islam kerana untuk mendapatkan undi dan memenangi pilihanraya adalah jauh daripada kebenaran.
PAS yang meletakkan perjuangannya untuk menegakkan Islam di Malaysia sentiasa konsisten dalam prinsip perjuangan. Berkawan dan bersahabat dengan parti bukan Islam tidak bermakna PAS menjual prinsipnya. Buktinya, Perlembagaan  PAS tidak pernah dipinda untuk tujuan tersebut. Ia tetap dengan perjuangannya ketika DAP mengugut untuk keluar daripada Barisan Alternatif suatu ketika dahulu jika PAS tidak mengubah prinsipnya. DAP akhirnya keluar kerana ketegasan PAS tersebut. DAP bersama dengan PAS semula dalam Pakatan Rakyat hari ini bukan kerana PAS telah mengubah prinsipnya tetapi kerana melihat kepentingan kerjasama untuk menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional. DAP menghormati ketegasan PAS dengan prinsipnya yang tidak pernah berubah.
Dalam hijrah Rasulullah s.a.w. ke Madinah untuk menegakkan sebuah Negara Islam, Nabi menggunakan khidmat Abdullah bin ‘Uraiqit, seorang yang bukan Islam sebagai penunjuk jalan. Ketika Rasulullah s.a.w. balik daripada berdakwah di Thoif, Nabi menggunakan khidmat Mut’im bin ‘Adi, seorang yang bukan Islam bagi melindungi baginda untuk masuk semula ke Mekah. Dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah, Bani Khaza’ah yang bukan Islam telah bekerjasama dan menyebelahi baginda s.a.w. Baginda juga dalam peristiwa tersebut telah menghantar Bisyr bin Sufian, seorang bukan Islam daripada Bani Khaza’ah untuk mendapatkan maklumat tentang penduduk Mekah. Peristiwa-peristiwa di atas menggambarkan bahawa Islam tidak pernah menghalang orang Islam mahupun kumpulan Islam berkawan dengan bukan Islam asalkan ia tidak memudharatkan Islam dan tidak menggadaikan prinsip Islamnya.
Justeru, kerjasama PAS dengan DAP dalam Pakatan Rakyat tidak pernah membelakangi apa yang dilakukan oleh baginda s.a.w. Sebaliknya kerjasama antara UMNO dengan parti bukan Islam termasuk MCA dan MIC dalam Barisan Nasional jauh menyimpang dengan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah. UMNO yang sememangnya tidak berhasrat untuk menjadikan Islam sebagai cara hidup di Malaysia sanggup untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti yang bercanggah dengan Islam demi untuk mengekalkan sokongan bukan Islam kepada mereka.
Dr. Mahathir mungkin keliru apabila mengeluarkan kenyataan tersebut kerana tidak dapat membezakan antara prinsip perjuangan dengan pendekatan. Beliau keliru kerana PAS dilihat mengubah pendekatan dan sehingga menyatakan PAS mengubah prinsip. Hakikatnya perubahan pendekatan tidak semesti membawa  kepada perubahan prinsip dan asas perjuangan.
Daripada tulisan Dr. Mahathir tersebut juga, jelas bahawa beliau tidak dapat membezakan antara perjuangan Nasionalis dengan perjuangan Islam apabila menuduh Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga seorang Nasionalis apabila menghadkan perjuangannya di Malaysia sahaja.
Nasionalisme adalah fahaman yang menjadikan ikatan dengan sesuatu golongan manusia daripada segi bangsa atau keturunan atau bahasa atau kawasan negeri sebagai suatu akidah perjuangan bagi menegakkan kepentingan tanpa mengira batas-batas keadilan menurut ajaran Islam, sehinggalah fahaman ini dijadikan falsafah politik, ekonomi dan kegiatan-kegiatan yang lain. Ajaran ini juga lahir daripada memisah agama dengan dunia.
Walaubagaimana pun, perasaan kasih di dalam diri seseorang kepada bangsa, keturunan, bahasa, kawasan negeri dan lain-lain tidak semestinya bermaksud dia menganut fahaman Nasionalis. Ini adalah kerana Islam mengakui adanya perasaan tersebut. Apa yang menjadi masalah adalah apabila perjuangan Nasionalis mendahulukan kasih kepada perkara-perkara tersebut lebih daripada kasih kepada Allah, Rasul dan Islam.
PAS walaupun pada zahirnya menghadkan perjuangannya di Malaysia tidak bermakna ia adalah sebuah parti Nasionalis kerana perjuangan PAS adalah menegakkan Islam. PAS menghadkan perjuangan di Malaysia kerana kasih kepada tanah air untuk mengembalikannya kepada pangkuan Islam di samping tidak lupa untuk bersama-sama dengan gerakan Islam lain di dunia dalam membela umat Islam. Jelasnya, walaupun  kasih kepada tanah air, ia tidak membelakangkan Islam dan ajarannya.
Apa yang berlaku kepada UMNO adalah sebaliknya. UMNO meletakkan bangsa mendahului segala-galanya termasuk Islam. UMNO tidak kisah tentang kedaulatan Islam di negara ini asalkan bagi mereka bangsa dimartabatkan kononnya. Islam hanya untuk peribadi, bukan menjadi aqidah negara.   
 Kesimpulannya, perjuangan PAS dengan UMNO jauh berbeza antara langit dan bumi. Walaupun PAS bekerjasama dengan DAP, ia tidak sama sebagaimana UMNO bekerjasama dengan MCA dan MIC.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grocery Coupons