Saturday 4 June 2011

Jahil Agama Punca Umno Marah Tuan Guru Nik Abdul Aziz


Kota Bharu, 7 Februari 2011 - Jahil terhadap agama sendiri dikenal pasti antara punca pemimpin Umno marah sangat kepada usaha dakwah yang dilakukan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Sedangkan apa yang dilakukan Mursyidul Am PAS itu selaras dengan perintah Allah Taala dalam Surah al-Maidah: 44 yang bermaksud: "Dan barang siapa yang tidak menghukumkan mengikut apa yang diturunkan oleh Allah maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir."
Namun malangnya Naib Presiden Umno, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan secara angkuh menuntut PAS mencari jalan menutup mulut Mursyidul Am.
Menurut Zahid, PAS perlu mencari jalan menutup mulut Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang merosakkan akidah umat Islam di negara ini. Malah dakwanya pendapat Menteri Besar Kelantan itu bukan pendapat Dewan Ulamak PAS.
Mengulas isu tersebut, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak berkata, pemimpin yang jahil terhadap agama sendiri sahaja yang mahu usaha dakwah dihentikan.
"Samalah dengan pepatah Arab menyebut, (seseorang itu menjadi musuh kepada benda yang dia tidak tahu)."
"Perumpamaan mudah seperti sesuatu makanan, ia boleh dipandang jijik oleh sesetengah orang kerana dia tahu khasiatnya. Sama seperti dakwaan menteri Umno itu terhadap perjuangan PAS," katanya di sini.
Kata beliau tidak pernah berlaku sebarang percanggahan pendapat di antara Dewan Ulamak dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz seperti didakwa Zahid.
Menurutnya, asas digunakan Menteri Besar terhadap orang Melayu yang enggan menyokong perjuangan Islam dengan istilah jahiliah tidak ada salahnya.
Beliau berkata, orang Melayu yang menolak Islam serupa dengan perangai orang Arab jahiliah menentang Islam ketika agama dari langit itu mulai berkembang di tanah Arab.
"Dalam Islam percanggahan pendapat hanya berlaku berkaitan pandangan sesuatu hukum antara mazhab empat sahaja. Misalnya Mazhab Shafei memutuskan batal wuduk apabila bersentuh antara lelaki dan wanita bukan mahram.
"Sebaliknya bagi mazhab Hanafi ia dibolehkan. Hanya dalam aspek tertentu sahaja percanggahan pendapatan dibenarkan. Lagipun khilaf pendapat seperti itu dianggap rahmah kepada umatnya," katanya.
Beliau yang juga AJK Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat berkata, pemimpin Umno cukup bimbang apabila rakyat mulai faham mengenai keindahan Islam.
Kata beliau juga situasi politik di negara ini sekarang sudah terbalik apabila orang bukan Islam lebih berminat memahami mengenai Islam, sedangkan ada orang Melayu (beragama Islam) memperlekehkan agama sendiri.
Abdullah juga berkata, ramai di kalangan pemimpin Umno tidak faham mengenai istilah kaum yang disebut dalam al-Quran sehingga menyamakan dengan perkataan bangsa.
Sedangkan katanya kaum lebih sempit berbanding dengan bangsa. Misalnya bangsa Arab namun ada kaum Quraisy, kaum Muhajirin dan kaum Ansar.
Kata beliau perkataan bangsa Arab yang disebut dalam al-Quran bukan hendak diagung-agungkan seperti mahu dilakukan pemimpin Umno terhadap bangsa Melayu.
"Ini kerana di dalam al-Quran juga disebut perkataan lembu, unta dan kuda," katanya.dewanulamakpas.org

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grocery Coupons