Saturday 4 June 2011

Cabaran Semasa Ulamak PAS


Kuala Ibai, 10 Disember 2010 - Ijtimak Ulamak dan Ulamak Pelapis PAS Terengganu yang diadakan pada 7 Disember lalu di Markas PAS Kuala Ibai, dekat sini berjaya mengumpulkan lebih 300 peserta dari seluruh negeri.
Majoriti yang hadir terdiri daripada ustaz dan ulamak pelapis di bawah umur 40 tahun dan muslimat peringkat kawasan lepasan pengajian tinggi Islam.
Timbalan Ketua Ulamak PAS negeri yang juga Pengarah program, Ustaz Abu Bakar Abdullah dalam ucapan aluannya mengingatkan peserta terhadap cubaan sesetengah pihak untuk meminggirkan kepimpinan ulamak.
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri, Dato' Ustaz Husin Awang dalam ucap utamanya pula mengingatkan hadirin tentang fungsi ulamak sebagai turjuman al-Quran dan Sunnah (penterjemah al-Quran dan Sunnah) sama ada dari aspek perkataan atau tindakan.
Menurutnya, para ulamak lebih memahami ajaran dan kandungan al-Quran dan Sunnah maka membiarkan mereka yang tidak tahu al-Quran dan Sunnah untuk memimpin akan membinasakan ummah.
Beliau menegaskan bahawa kerjasama politik yang dijalin PAS dalam Pakatan Rakyat tidak menjejaskan prinsip parti kerana ia dipandu siasah syar'iyyah, kaedah usul fiqh dan prinsip-prinsip Umum Islam.
"Ini menunjukkan bahawa ulamak dalam PAS mampu membuat strategi terbaik. PAS punya daya kepimpinan yang bergerak seiring dengan perubahan dan sentiasa relevan tanpa menggadaikan prinsip," ujarnya.
Menerusi tarbiah yang diterapkan ulamak, ujarnya ahli-ahli PAS mempunyai daya juang yang tinggi, taat dan wala kepada parti.
Ustaz Husin turut menggariskan beberapa cabaran semasa yang perlu dihadapi ulamak iaitu penerangan yang jelas tentang kerjasama dengan DAP, isu pelaksanaan syariah juga persiapan jika berkuasa penuh di peringkat pusat.
Ulamak tegasnya, perlu menggembleng tenaga, meningkatkan mutu ilmu dan kerja, menjadi contoh ikutan golongan muda, mencari jalan mendekati pengundi muda dan meningkatkan komitmen ulamak pelapis kepada tugas- tugas dalam jemaah.
Pada sesi kedua ijtimak, Ahli Jawatankuasa Lajnah Keahlian dan Ulamak Pelapis, Ustaz Ilias Ahmad membentangkan kertas kerja bertajuk 'Ulamak Pelapis - Satu Pengenalan' yang menyentuh sejarah, tujuan dan misi utama ulamak pelapis PAS.
Di akhir Ijtimak, satu resolusi telah dikeluarkan yang menyenaraikan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian ulamak.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grocery Coupons