ISNIN, 16 MEI 2011
Marsha tak selesa dilabel artis kontroversi, sensasi
MENGHELA nafas panjang dan agak cuak sedikit Marsha Milan Londoh saat diaju gosip baru yang mula kedengaran kebelakangan ini. Mana tidaknya, gosip itu pertama kali ‘menyelinap masuk’ dalam kancah dunia seninya sejak enam tahun untuk meneruskan konsistensi selepas bergelar finalis Akademi Fantasia musim ketiga (AF3).
Bukan sesuatu yang pelik pun kerana pemilik bibir seksi ini amat sinonim dengan panahan gosip dan kontroversi. Tetapi gosip yang satu ini mula membuatkan pesona kelahiran Michigan, Amerika Syarikat ini bingung dan sekali gus kehairanan.
Gosip bertebaran berbunyi kononnya dalam diam Marsha bukan saja menjaja bakatnya demi mencari rezeki selama ini, sebaliknya dia yang bakal genap 26 tahun pada 6 Disember ini juga dituduh ligat menjaja diri menggunakan pengaruhnya, kononnya kini menjadi pelacur kelas atasan secara sambilan.
Namun, mengenalinya sekian lama, dia tidak pantas melenting atau melatah dengan apa saja cerita buruk yang menghimpit diri. Penyanyi yang turut bergelar pelakon itu menafikan sekeras-kerasnya cerita itu. Marsha masih waras serta tidak tergamak mempertaruhkan tubuh badannya yang mungil itu semata-mata untuk hidup mewah.
“Saya bukan sebegitu. Kalau sudah lama saya buat kerja terkutuk macam itu, barangkali saya sudah lama bersara dalam dunia seni. Kalau difikirkan logik pun, saya hanya memandu kereta Toyota Vios dan jauh sekali memandu kereta mewah. Hakikatnya gosip ini memang jauh menyimpang dan saya sendiri tertanya apa motif sebenar pembawa gosip ini.
“Sedihlah kalau cerita ini terus bertebaran tanpa mengetahui kebenaran. Ia seperti satu penghinaan dan kejian terbesar dalam hidup saya. Ibaratnya, kehadiran saya selama ini dalam arena seni tidak memberikan apa-apa impak langsung,” katanya kepada B*POP.
Percaya atau tidak, cerita negatif seperti ini ada pihak melihat ia mungkin mencetuskan kontroversi dengan tanggapan kisah sebegitu untuk menjadikan seseorang artis itu menjadi bahan bualan ramai sekali gus menghangatkan lagi kelangsungan Marsha dalam persada hiburan supaya sentiasa diingati masyarakat.
Begitu juga kisah dan gosipnya dengan beberapa selebriti tempatan termasuk episod cintanya dengan rakan seperjuangan, Kefli (bertahan selama empat tahun) antara tarikan yang mengundang rasa ingin tahu khalayak terhadap diri Marsha. Begitu juga kisah cintanya dengan jejaka Melayu dengan pangkal nama Z turut berakhir.
Selain itu, gelaran gedik juga antara jolokan yang terus melekat kepadanya. Jadi tidak hairan, dia sering ditawarkan watak sedemikian. Tapi pintasnya, dia bukan bersifat gedik seperti disangka atau dipertontonkan dalam lakonannya. Mahu atau tidak, Marsha harus menelan pahit manis bergelar artis seiring kematangannya.
“Bukan saya mahu menidakkan apa yang saya sudah lalui sepanjang bergelar anak seni. Tipulah jika saya tidak kecewa apabila bakat seni tenggelam dan lebih dibayangi dengan cerita kontroversi dan sensasi. Ia di luar kawalan saya. Tetapi sebagai artis, saya sedar sekali melangkah dalam bidang ini, hampir setiap sisi kita mahu diketahui masyarakat.
“Hakikatnya, saya juga berdepan kesusahan dan pahit getir pada awalan bergelar artis. Mungkin tidak ramai tahu saya juga bergelut pengalaman pahit yang sering dilalui artis baru. Ada orang ingat sesiapa saja jadi artis terus boleh kaya raya dan sentiasa nak nampak cantik selalu. Tapi bayangkan dua bulan selepas keluar AF3, saya pernah mendapat gaji sebanyak RM70 untuk satu kerja.
“Mujur saya ada duit simpanan dan dibantu ibu bapa. Jadi bila sudah senang sedikit, saya tak kisah berbelanja untuk diri sendiri. Nak kata boros tidaklah... saya pun bukanlah jenis ‘high maintenance’. Cuma, saya berbelanja membeli keperluan kerjaya seperti pakaian contohnya untuk dipakai ketika berlakon dan membuat persembahan nyanyian,” katanya yang rapat dengan adik kepada Sharifah Shahira dan Sharifah Haslinda, Sharifah Sakinah.
Pintasnya lagi, hayat seninya kini bukan saja didorong cerita panas semata-mata yang menghimpit kerjaya. Sebaliknya ia turut bertimbal balik kepada keghairahan dan semangat yang mengalir dalam darah seninya. Rezeki yang datang mahu dibuktikannya bukan diterima hanya sekadar dia dianggap pelakon cantik dan seksi.
“Tetapi ia datang dengan bakat yang saya miliki. Malah, saya bersyukur dikelilingi mereka yang sentiasa menyokong, terutama pengurus saya, Syad Rosli yang membimbing saya hingga ke saat ini. Hala tuju ditunjukkannya menjadi penanda aras. Pada masa sama, apa yang saya raih berbalik kepada rezeki Tuhan.
“Seiring pertambahan usia, sikap mesra saya yang dilabel sebagai gedik juga akan berubah. Pembawaan diri dan cara saya berdepan dengan media boleh saya katakan sebagai mesra dan peramah. Tapi kalau ada yang nak cakap saya gedik, apa daya saya menghalang. Seboleh-bolehnya, saya tak nak lagi bawa watak gedik.
“Saya mahu berubah kepada watak lebih mencabar dengan harapan penerbit serta pengarah di luar sana akan memberi peluang untuk saya mempelbagaikan karakter. Sejujurnya, watak gedik cukup melekat dalam diri hingga ada kalanya mungkin terbawa-bawa di alam realiti. Saya tidaklah gedik seperti disangka orang lain,” ujarnya.
Tidak terdesak untuk kahwin
MENDASARI hati Marsha kini, terutama dalam menyelami soal peribadi, dia lebih selesa mentafsirkan dirinya kini masih berstatus solo, tanpa kekasih mahupun teman lelaki istimewa. Enggan mengenang kisah lalu, Marsha belum bersedia dengan sebarang komitmen lagi buat masa ini untuk membicarakan soal hati secara panjang lebar.
Tetapi itu bukan penghalang untuknya berkawan apatah lagi sejak dulu dia memang ramai kawan lelaki berbanding wanita.
“Agenda kahwin belum ada dalam kalendar diri saya. Saya belum terdesak untuk kahwin. Dulu, saya pernah sasarkan untuk berkahwin pada usia 25 tahun. Tapi ia sudah tersasar. Lepas ini, saya tak berani lagi nak letak sasaran bila nak kahwin. Cuma, bayangkan kawan satu sekolah saya sudah mempunyai anak.
“Sebagai manusia, saya sendiri tidak tahu siapa jodoh saya kelak. Dulu saya pernah keluar dating dengan lelaki bangsa lain selain Melayu. Tetapi rasanya kalau saya terus-terusan berada di Kuala Lumpur, potensi dan kecenderungan saya berada dekat dengan jejaka Melayu sangat luas. Komitmen (kahwin) saya tolak ketepi dulu, biar saya bercinta dulu,” katanya yang masih tegar untuk meneruskan kelangsungan memiliki rangkaian perniagaan label jeans suatu hari nanti.
Ditanya mengenai jolokan sebagai pelakon seksi, Marsha tidak melihat ia sebagai isu yang perlu diperbesarkan. Apatah lagi, dia bukan artis Melayu cuma sering dianggap sebaliknya. Dengan agama dianutinya, Marsha bebas bergaya seksi tetapi tidak sampai menjolok mata.
“Saya selesa dengan imej sebegini (seksi). Tapi biarlah ada batasnya. Kalau nak seksi pun biar dengan kelasnya. Kalau ada orang melabelkan saya sebagai simbol seks, saya tidak melihatnya sebagai satu masalah. Orang di luar sana bebas melabelkan itu dan ini. Janji, saya sendiri masih waras untuk bergaya mengikut aliran semasa,” katanya yang kali terakhir muncul di layar perak menerusi filem Cun.
Sementara itu, biarpun dilihat semakin menyerlah dalam lakonan, Marsha masih mampu tersenyum kerana penantiannya untuk muncul dengan album sulung sudah berakhir dengan kehadiran Yang Pertama. Album itu memuatkan lima lagu menerusi edaran Alibi Music Sdn Bhd. Kontraknya bersama Alibi juga masih berbaki kurang setahun.
“Saya baru saja selesai menjalani penggambaran drama Kum Kum, telefilem Ekspres Dania dan drama sekuel Dunia KITA. Semuanya arahan Michael Ang. Malah banyak lagi projek akan datang saya bersama Michael. Berlakon di bawah arahan Michael tidak bererti saya tidak ada tawaran daripada produksi lain.
“Cuma sekarang, fokus saya lebih terarah bekerjasama dengan Michael. Selama ini juga saya sering menolak peluang berlakon watak utama kerana susah mahu memberi komitmen kerana pada masa sama saya ada undangan membuat persembahan nyanyian. Saya lebih bersedia untuk watak pembantu kerana masa diperlukan tidak sebanyak untuk membawa watak utama," katanya.
1 comments:
MARSHA tetap cantik la weyh <3
Post a Comment