Showing posts with label Tip. Show all posts
Showing posts with label Tip. Show all posts

Thursday, 2 June 2011

Kasih Ayah berkorban Nyawa..



Rasulullah anggap menderhaka kepada orang tua dosa besar selepas syirik.

“Dan Tuhanmu sudah perintahkan, supaya engkau tidak menyembahkan melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada usia tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar), sekalipun perkataan ‘uuh’ dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku ketika kecil.” (Surah al-Israk ayat 23-24). 

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya sudah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedangkan tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.” (Surah al-Ahqaf ayat 15). 

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: Aku pernah bertanya Rasulullah SAW: Apakah amalan paling utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah. Kemudian aku bertanya lagi kepada baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan Baginda. (Riwayat Muslim) 

Perintah Islam supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa ini berbentuk umum tidak kira, sama ada mereka beragama Islam atau tidak. Cuma bagi ibu bapa bukan beragama Islam, perintah menghormati dan berbuat baik itu dengan bersyarat iaitu selagi ibu bapa tidak menyuruh anaknya yang beragama Islam melakukan perkara mensyirikkan Allah SWT.

Diriwayatkan daripada Sa’id bin Abu Waqqas bahawa Ummu Sa'ad adalah seorang kafir kerana terlalu benci kepada Rasulullah SAW, pada suatu hari Ummu Sa'ad berkata kepada anaknya, “Bukankah Allah menyuruh engkau berbuat baik kepada ibu bapamu? Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati atau engkau kufur (kepada Nabi Muhammad saw).” (Riwayat Muslim). 

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang sudah kamu kerjakan.” 

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (daripada awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada ibu bapamu dan (ingatlah), kepada Akulah tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (Allah) dengan sesuatu yang engkau – dengan akal fikiranmu – tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaul dengan mereka di dunia dengan cara baik. Dan turutlah jalan orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang salih). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semua, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan.” (Surah Luqman ayat 14-15). 

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-'As r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya?

Rasulullah SAW menjawab dengan bersabda: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya. (Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW menganggap menderhaka kepada ibu bapa sebagai dosa besar selepas syirik. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik ra katanya: Nabi SAW pernah menceritakan tentang dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud: “Menyekutukan Allah, menderhaka kepada ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata palsu.” (Riwayat Muslim)

Sayang Bukan Rahsia -fb


Ini kisah benar. Kisah diriku 8 tahun lepas. Kali pertama aku jatuh hati pada seorang gadis. Dia tidaklah secantik model. Tak setinggi mana & chubby sikit. Orangnya boleh tahan comel. Senyumnya manis, punya lesung pipit di pipi kirinya. Perwatakan lembut & manja. Dengan suaranya saja aku boleh tergoda. Pada org lain, dia hampir perfect. Matanya redup tapi wajahnya selalu kurang bermaya. Bila berjumpa dia nampak lesu saja. Pandai orangnya, kewangan stabil.. Full package lah kiranya.

Aku? Aku menarik orangnya, begitu kata gadis-gadis. Tapi kawan-kawan melabel aku sebagai lalaki biasa tapi body boleh tahan. Aku punya ketinggian yang cukup, dada yang bidang (gadis-gadis suka, boleh buat bantal kalau nangis). Kewangan? Tu tak tentu. Kadang-kadang ada kadang-kadang entah la... Otak? Boleh tahan la, cuma aku malas sikit. So aku belajar slow2 (faham-faham la..extend 3 sem!)

Ok, gadis tu aku kenal melalui internet. Dunia tak sebesar mana, dah lama berchatting, baru aku tahu dia satu kolej dengan aku. Seronok lah aku, boleh aku intai dia selalu. Mula lah aku korek2 rahsia pasal gadis tu. Haihh, lagi2 lepas tu aku dapat tahu, gadis tu memang dah faymes kat kelas aku. Ramai member2 aku kenal dia. Room mate aku? Pernah kena gossip ngan gadis tu. Sebab? Gadis tu baik sangat. Apa2 hal dia ringan je nak tolong orang. Sebab dia tolong room mate aku, kena gossip la. Tapi tu sebelum dia kenal aku. Aku pulak tak tentu pasal dengki. Room mate aku tu aku buat jadi musuh. Padahal aku belum ada apa2 dengan gadis tu. Saja nak dengki... Ngehngehngeh....

Aku sebenanrnya dah mula suka kat gadis tu. Tapi tak nak kantoi. Kenapa? aku pun tak faham ngan diri sendiri masa tu. So, aku pun makin hari makin rapat ngan gadis tu. Gadis tu? Alah, dia anggap aku member biasa je. Geram betul! Pastu aku pun menjalankan strategi mengayat tapi tak nak kantoi. Macam mana? Hahaha.... Rahsia. Lama-lama gadis tu pun dah macam respond je. Aku apa lagi, suka la! Tapi banyak masalah sikit, ramai betul orang nak masuk line. Sakit hati betul aku. Tapi sebab daya tarikan aku (perasan lagi), gadis tu tak terpikat lah ngan orang lain. Hebat betul aku!

Birthday aku, gadis tu tiba-tiba je ajak keluar. Tapi dia ajak room mate aku sekali, dengan member aku lagi sorang. Menyampah betul, aku nak keluar 2 org je.Tapi kami keluar 4 org. Gadis tu punya baik, belanja kami semua makan. Siap belikan aku kek. Wah terharu lah! Aku tak tahu nak balas macam mana, aku just cakap thank you. Tak lama lepas tu, member aku ajak gadis tu tengok wayang. EH?? Sedap2 je nak potong line aku? Aku dengan tak malu cakap aku nak join. Lah, aku ingat diorang keluar 2 org je. Rupanya satu geng. 7 8 orang, aku ingat lagi. Masa tu gadis tu belanja lagi. Semua yang ada. Wah banyak betul duit dia. Dalam kepala, aku dah terbayang-bayang seronok kalau keluar dengan dia, dia bayar semua! Duit aku bole buat pegi futsal, beli rokok, modify motosikal. Yahoo!

Tak lama lepas tu, aku baru dapat tahu, dia belanja masa birthday tu sebagai member je (dia memang selalu belanja kalau member birthday). HAHA aku perasan lagi. Apa pasal la gadis tu baik sangat? Entah la. Aku tak mengaku kalah. Terus tackle dan tackle. Lama jugak baru tersangkut. Rupanya dia ada sejarah lama, patut lah susah betul nak dapat. Dia pernah kena tinggal dengan ex-boyfriend. Bukan sekali dua. Empat kali. Kesian gak. Tapi apa boleh buat..

Aku mula berazam nak ikhlas lah ngn gadis tu. Tak nak mainkan perasaan dia. Tapi aku pantang satu benda. Aku tak nak ada girlfriend. Nanti terkongkong. Tapi dalam masa yang sama aku tak nak gadis tu rapat dengan jantan lain. Nanti mula lah aku naik angin. Lama jugak gadis tu bertahan dengan aku. Tapi aku masih macam dulu, tak nak kantoi. Tak nak member2 aku tahu hal kitorg. Hal-hal kewangan aku dah mula bertolak ansur, ada waktunya aku yang bayar. Ada waktunya dia yang bayar. Tapi selalu dia yang bayar (aku selalu pokai). Dekat FRIENDSTER, aku tak nak letak in relationship. Aku letak single. Kenapa? Tak nak kantoi. Lagipun aku tak pernah ajak dia jadi girlfriend aku. Tapi aku control dia dah lebih dari girlfriend. Tak boleh keluar dengan jantan lain, tak boleh tolong jantan lain, tak boleh itu, tak boleh ini. Kesian gadis tu, ikut je cakap aku. Dia memang respect kat aku. Aku? Ada masa sempat lagi chat ngan awek lain. Dia tak tahu, tak apa lah. Jahat betul aku ni.

Lama kami berkawan. Kawan je tapi control lebih. Jealous tak payah cakap. Masing2 kuat jealous. Problem cuma aku yang tak ajak dia jadi girlfriend aku. Tak kan dia nak ajak aku jadi boyfriend dia kan? Lama2 kantoi jugak dengan member2 rapat masing2. Tapi aku mcm biasa, no comment. Dia? Bila org tanya, dia cakap dia tak ada boyfriend. Aku bukan main sakit hati lagi. Dah tahu ramai peminat nak cakap macam tu pulak. Tapi fikir2 balik mmg betul. Aku bukan boyfriend dia. Aku sebenarnya tahu, dia nak aku yang cakap dulu. Tapi aku buat tak tahu je. Wah aku ni, dulu masa tak dapat bukan main lagi aku mengayat, sekarang dah dapat tak nak ada hubungan pulak. Tapi nak control. Pelik betul aku ni. Kadang2 kesian tengok dia. Dia mcmserba salah kalau nak cakap apa2. Ye lah, aku bukan boyfriend dia, bukan tunang, bukan suami. Kawan je.

Kami berkawan dari alam kolej sampai lah masing2 dah bekerja. Dia dapat jawatan bukan main tinggi lagi. Dia kan rajin & baik, semua org suka. Aku, biasa je. Gaji pun boleh la kalau nak buat makan. Masa dah kerja lagi banyak dia yang keluar duit, tapi dia memang tak merungut. Cuma kadang2 bila dia tak mampu, dia diam je. Tak ada gedik2 ajak aku keluar. Lagi satu, sepanjang kenal dia, tak pernah minta aku belikan apa2. Cukup sekadar aku berbual2 dengan dia dlm phone sebelum dia tidur. Gadis itu, baik sungguh. Member2 aku ramai yang kedana, awek mintak yang bukan2. Aku, senang je.

Birthday dia? Aku wish je. Lepas tu aku call dia 2 3 jam. Tak ajak pegi mana2. Tak bagi apa2. Kesian dia. Aku tak lah kedekut sangat. Cuma aku ni kayu sikit. Tak reti lah nak bagi apa2. Gadis tu, tak merungut langsung. Beruntung aku masa tu.

Usia dia menjejak 27 tahun. Dia masih melekat dengan aku, bukan sebagai girlfriend, bukan sebagai tunang. Masih lagi kawan je. Dia ada cakap pasal nak kahwin. Tapi dia tak cakap pun nak kahwin dengan aku. Aku buat tak tahu je lah. Kewangan tak stabil. Lagipun aku nak enjoy dulu. Tak faham2 aku ni, perempuan kalau dah 27 tu dah lambat la kalau tak kahwin,  tak tunang. Kesian dia. Mak dia dah bising2 kat dia suruh kahwin. Tapi balik2 dia terpaksa cakap kat mak dia, tak ada calon lagi. Aku pulak masih dengan perangai lama. Family aku tak tahu pasal dia. Family dia tahu tapi ye lah, kalau aku tak gerak takkan diorg yang nak gerak.

Last2 gadis tu tanya jugak dekat aku. Lepas 6 tahun berkawan.

"Awak, awak dah lama kawan dengan saya. Awak nak buat saya jadi apa nanti? Awak nak kahwin ngan saya ke?"

Aku tahu dia malu nak tanya macam tu. Tapi aku saja buat dia tak keruan.

"Eh, mana ada saya cakap nak kahwin dengan awak kan?"

Aku hanya bergurau tapi aku tak faham hati perempuan. Dia menangis depan aku time tu jugak. Aku buat tak tahu. Siap gelak lagi bergurau2. Pastu pujuk jugak tapi pujuk biasa je lah. Tak sentuh langsung hal-hal kahwin tu. Lepas peristiwa tu. 4 bulan kami tak berjumpa. Aku sibuk dengan kerja, tak tanya pulak bila lagi nak jumpa. Call pun  ada sekali dua je rasanya. Tiba-tiba bila aku buka e-mail, dapat e-mail dari dia.

"Awak, family saya asyik tanya saya tentang kahwin. Saya dah tak tahu nak cakap apa. Kalau awak sayangkan saya, sekurang-kurangnya kita bertunang dulu. Saya faham kewangan awak tak stabil. Saya boleh keluarkan belanja. Dengan duit simpanan saya sendiri. Saya segan nak tanya awak. Saya takut awak jawab macam hari tu. Tapi kalau awak tak sudi, saya boleh berundur. Ibu saya dah banyak kali cakap, kalau saya tak ada calon, dia dah ada calon untuk saya. Ada yang masuk meminang. Dalam masa sebulan lagi ibu saya akan bagi jawapan. saya harap awak faham. Saya mengaku saya sangat sayangkan awak."

Aku tak ada perasaan masa tu. Aku ingatkan dia saja nak buat cerita, buat point supaya aku gerak. Lepas tu aku tengok tarikh e-mail tu, 3 bulan lepas. Bila aku check balik, ada e-mail yang masuk folder spam. Dari gadis tu.

"Awak, saya tunggu jawapan awak. Saya cuba call awak banyak kali. Tak dapat. Ibu dah buat keputusan. Saya dah tak boleh undur lagi. Minggu depan saya akan kahwin. Saya minta maaf. Kalau sudi datang lah ke majlis saya."

E-mail tu tarikhnya sebulan lebih selepas e-mail yang sebelumnya. Baru aku ingat sebelum tu ada lebih 20 missed call dari dia. Tapi aku tak call balik sebab aku sambung tidur. Bila bangun aku dah tak ingat nak call. Kalau diikutkan, dia memang sepatutnya dah berkahwin. Aku beranikan diri cuba call dia. Dijawab oleh seorang lelaki.

"Salam. Nak cakap dengan isteri saya?"

"Salam. Isteri?"

"Ye, isteri saya terlupa phone dia dlm kereta saya tadi sebelum ke pejabat"

Aku terdiam. Gadis tu dah kahwin. Aku?

"Hello?"

"Maaflah ye, boleh saya tahu encik ni siapa? Nanti saya inform dekat isteri saya encik ada call. Rasanya nombor encik tak saved kat dalam phone isteri saya ni"

Aku rasa kelam masa tu. Mesti gadis tu cukup sabar menanti aku selama ni. Sekarang nombor aku pun dia dah tak simpan lagi.

"Tak apalah, kirim salam pada isteri encik. Katakan kawan lama menelefon bertanya khabar. Selamat pengantin baru"

Hari tu aku menangis semahunya. Gadis 'full package' yang manis, anggun dan sangat baik dah hilang dari aku. Sedih aku bila ingat balik, dia tak pernah berkira, tak kedekut, selalu tolong aku, bagi sokongan kat aku. Aku memang tak boleh nak salahkan gadis tu. Dia memang dah lama tunggu aku. Aku tak ada apa2 ikatan dengan dia. Aku memang tak boleh salahkan dia kalau dia tinggalkan aku. Tapi bertahun-tahun aku simpan harapan. Cuma sikap aku yang buat aku jadi macam ni. Sekarang aku kena mula cerita baru. Cerita yang sepatutnya dah nak sampai happy ending terkubur macam tu je.

Pesanan untuk orang di luar sana: Kalau kita suka/sayangkan sesorg, jangan segan ucapkan sayang. Jangan biar lepas. Nanti menyesal tak sudah. Lagi2 lelaki, kita memang tak suka dikongkong. Tapi selalu ingat perempuan tak suka dibiarkan sahaja. Walaupun diorg tak ckp, perempuan ni sebenarnya lebih suka bila ada org yang control dia. Mungkin rasa dilindungi. Rasa ada yang ambil berat. Ikatlah dengan satu ikatan, kekasih, tunang, isteri. Jangan pernah malu untuk beritahu dunia, gadis tu milik kita. Kalau benar gadis tu ikhlas, dia pasti gembira bila kita dengan bangga katakan dia milik kita.

10 wanita yg patut dihindari

Ada satu pandangan daripada pakar cinta di luar negara berkenaan ciri-ciri wanita yang wajib dijauhi. Dengan izin, saya kongsikan sebahagian kecil di sini.

1. Wanita kategori liar.
Inilah jenis wanita yang sering dinasihati oleh mana-mana ibu untuk dijauhi. Pada awalnya, perhubungan dengan wanita sebegini sememangnya menyeronokan.
Dia selalu melakukan sesuatu di luar jangkaan. Perasaan selalu mencuba sesuatu yang bagus, tetapi sikap cuba-cubanya tidak wujud sempadan. Kita teruja dengan kegilaannya tetapi tak kita sedar, tersadung dalam masalah yang diciptanya.

2. Wanita si Bom jangka.
Wanita bersifat bom jangka seumpama emosi yang akan meletus tanpa apa-apa amaran ketika anda menjangka semuanya erkawal.
Dia kelihatan normal luarannya sehinggalah kita menjadi sasarannya.
Individu seperti ini bukan sahaja menjadi bom jangka dalam emosi kemarahan malah emosinya akan mengubah keputusan-keputusan penting.

3. Wanita si Gula-gula
Gadis muda seumpama gula-gula yang melihat kita sebagai pembimbingnya dan menyukai kewujudan kita.
Dalam keadaan ini kita seolah-olah bertindak seperti seorang yang mengajarnya untuk menjadi wanita idaman dan cuba mencipta kehidupan yang penuh kematangan untuknya.
Hakikatnya kita sudah tertipu, gadis muda seumpama ini sebenarnya sedang menguji kuasa tarikan yang ada pada dirinya.

4. Wanita si Bintang
Wanita bersifat bintang menjadikan pasangannya sebagai jalan untuk mempopularkan atau menguntungkan dirinya semata-mata, lebih-lebih lagi jika dia mempunyai keinginan besar terhadap sesuatu yang jelas bukannya diri kita.

5. Wanita si Penggapai.
Penggapai mempunyai kedudukan kewangan lebih dari apa kita miliki dan dia menyukai keadaan demikian, ia memberi jaminan kepada dirinya.
Mengapa dia suka? Dia memilih pasangan yang bukan dalam kelompoknya agar ia memberinya ruang bergerak.
Kita menjadi sasaran jika matlamat kewangannya gagal, dan kita dilihat sebagi punca terbazir masanya sekadar untuk aktiviti bersama.
Dia cenderung mengatakan setiap usahanya adalah untuk kebahagian bersama.

6. Wanita yang Tercedera.
Hubungan yang terjejas menjadikan wanita dalam kategori ini tercedera emosinya sepanjang masa.
Kewujudan kita adalah kapal persinggahannya sementara baginya untuk memikirkan kesilapannya, apa yang terjadi, siapakah dia dan apa yang perlu dilakukannya.
Sepanjang kita menjadi pasangannya, kita mendengar segala kisah buruknya. Kita akan menjadi pendengar setia kisah sedihnya semalam, hari ini dan esok.
Dalam jangkaan kita kewujudannya untuk menyintai kita, tetapi dia lebih memikirkan keadaan dirinya.
Setelah selesai, selamat tinggal untuk kita.

Artikel Cinta ini telah dikongsikan bersama oleh saudara Zamri Mohamad di Forum Tentang Cinta.

sumber : tentangcinta.com

Pertanyaan Untuk Cinta


Artikel cinta ini telah disampaikan oleh Aisya Syahirah.


"Adakah tapak tanganmu berkeringat, hatimu
berdebar kencang dan suaramu tersekat di dadamu?
Itu bukan Cinta, itu SUKA.


Adakah kamu tidak dapat melepaskan pandangan
mata darinya?
Itu bukan Cinta, itu NAFSU.


Adakah kamu menginginkannya kerana kamu tahu
ia ada di sana?
Itu bukan Cinta, itu KESEPIAN.


Adakah kamu mencintainya kerana itulah yang
diinginkan semua orang?
Itu bukan Cinta, itu KESETIAAN.


Adakah kamu tetap mengatakan kamu
menyintainya kerana kamu tidak ingin melukai
hatinya?
Itu bukan Cinta, itu BELAS KASIHAN.


Adakah kamu menjadi miliknya kerana pandangan
matanya membuat hatimu melompat?
Itu bukan Cinta, itu TERGILA-GILA.


Adakah kamu memaafkan kesalahannya kerana
kamu mengambil berat tentangnya?
Itu bukan Cinta, itu PERSAHABATAN.


Adakah kamu mengatakan padanya bahawa setiap
hari hanya dia yang kamu fikirkan?
Itu bukan Cinta, itu DUSTA.


Adakah kamu rela memberikan semua perkara
yang kamu senangi untuk kepentingan dirinya?
Itu bukan Cinta, itu KEMURAHAN HATI.

Tetapi

Adakah kamu tetap bertahan kerana campuran
antara kesakitan dan kegembiraan yang
membutakan dan tak terfahami ... menarikmu
mendekati dan tetap bersamanya?
ITULAH CINTA.


Apakah kamu menerima kesalahannya kerna itu
bahagian dirinya dan siapa dirinya?
Jika demikian, ITULAH CINTA.


Adakah kamu tertarik dengan orang lain tapi setia
dengannya tanpa penyesalan?
Jika demikian, ITULAH CINTA.


Adakah kamu menangis kerana kesakitannya
walaupun saat itu dia kuat?
ITULAH CINTA.


Adakah hatimu sakit dan hancur ketika dia
bersedih?
ITULAH CINTA.


Adakah hatimu gembira ketika dia berbahagia?
ITULAH CINTA.


Adakah matanya melihat hatimu dan menyentuh
jiwamu begitu mendalam sehingga menusuk?
Yang demikian itulah namanya CINTA.

lurve,
aisya yg chumell..

sumber : tentangcinta.com

20 sebab tak perlu minta maaf


Kalau kita berbuat salah, sudah tentu kita perlu meminta maaf terlebih dahulu. Tetapi ada juga di antara kamu yang sering meminta maaf walaupun hakikatnya bukan kita yang melakukan kesalahan/kesilapan. Demi menjaga hati ataupun sebagai tanda hormat, kamu yang mengalah. Adakah ini patut terjadi sedangkan pihak lain terus tersenyum kerana kamu yang memikul kesalahannya ataupun kamu yang menyerah diri walaupun tahu yang kamu tidak bersalah?
Jangan begitu! Jika ternyata kesalahan bukanlah berpunca dari kamu, adalah menjadi hak kamu untuk tidak meminta maaf. Kami telah mengenal pasti 20 sebab mengapa kamu tidak perlu meminta maaf.


1 - PERASAAN KAMU
Apa yang kamu rasa dan fikir, sepenuhnya adalah hak kamu. Jadi jangan rasa bersalah kalau apa yang kamu rasakan itu menjadi satu kesalahan walaupun mungkin kamu sendiri terpaksa bermasam muka dengan orang lain. Kamu berhak mempertahankan pendapat kamu kerana setiap individu mempunyai sifat ego tersendiri. Bukan semua orang tahu menghargai perasaan kita sebagaimana mereka mahu kamu menghargai perasaannya. Bukan semua orang berupaya menyelami perasaan kamu, selain dari diri kamu sendiri.


2 - LEBIH BERKEBOLEHAN
Mungkin gaji kamu lebih tinggi dari kekasih mu ataupun kamu lebih berkebolehan dalam bidang tertentu berbanding orang-orang yang terdekat dengan kamu. Setiap manusia mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Jika ada orang lain yang tidak dapat menerima keistimewaan kamu, pedulikan saja!! Kamu harus sentiasa berfikiran positif dan menganggap inilah kelebihan yang kamu miliki dan bersyukur dengan kurniaan tersebut. Kalau ada yang mempertikaikan kebolehan itu, katakan saja yang setiap manusia dilahirkan mempunyai kelebihan dan kekurangan sendiri. Jangan takut untuk mengakui kelebihan kamu yang dimiliki kerana anugerah Tuhan tidak harus dipersiakan!


3 - MASA LALU
Jangan meminta maaf di atas keputusan yang pernah kamu laksanakan di masa lalu. Ia adalah kerana apa jua keputusan yang kamu lakukan bergantung pada situasi di saat itu. Walaupun ada yang menentang keputusan yang telah kamu lakukan, jangan cepat tersentuh. Ingat! Kamu tentunya sudah boleh berfikir, mana yang baik dan buruk. Segala keputusan adalah terletak di tangan kamu dan ianya amat mempengaruhi hidup di masa akan datang. Tidak harus meminta maaf kerana bukan kamu tahu apa yang akan berlaku di masa depan kan?


4 - MENJADI PERHATIAN
Bukan semua orang meminta dirinya menjadi perhatian. Kamu jangan risau jika diri mu menjadi perhatian orang. Mungkin ada sebab-sebab tertentu mengapa kamu yang dipilih berbanding dengan orang lain. Kamu tidak perlu meminta maaf jika ada yang cemburu kerana kamu yang mendapat lebih perhatian berbanding mereka. Jika kamu ingin lari dari terus menjadi perhatian orang, usahakan agar kamu berjaya menghindarinya. Jangan melibatkan orang lain jika kamu tidak mahu diri dipersalahkan.


5 - MEMUTUSKAN CINTA
Kalau kamu rasa bukan berpunca dari silap kamu, kamu berhak meminta putus. Untuk apa kamu terus menyeksa diri untuk terus bersama si dia sedangkan ternyata dia sendiri yang bersalah. Jangan rasa takut untuk melaksanakan dan kamu juga tidak perlu memaksa diri untuk meminta maaf kerana perpisahan ini bukanlah yang kamu ingini. Tetapi keadaan yang memaksa!


6 - BERKATA JUJUR
Kejujuran merupakan resipi utama dalam sesebuah perhubungan. Kamu tidak perlu takut untuk berterus-terang andai ianya mendatangkan kebaikan pada diri kamu. Walaupun mungkin ia boleh mencetuskan salah faham antara kamu dan si dia, terpulanglah pada si dia sama ada boleh menerima kejujuran kamu ataupun tidak.


7 - BERTERUS TERANG
Kita mungkin mampu membohongi orang lain, tapi tidak pada hati sendiri. Contohnya, kamu sudah tertarik pada orang lain sedangkan kamu baru saja menjalinkan hubungan dengan si dia. Salah satu sebabnya ialah mungkin kamu tidak dapat menerima cara si dia. Jalan terbaik ialah dengan berterus-terang, daripada kamu terus menipu si dia dan diri kamu sendiri. Nyatakan sebab-sebab mengapa kamu tidak dapat menerima si dia lebih daripada seorang teman biasa. Daripada kamu terus menyeksa diri kerana terpaksa menerima si dia, lebih baik kamu bertindak lebih awal lagi agar perasaan itu tidak terlajak jauh.


8 - TIDAK MENEPATI CITA RASA
Bukanlah perkara yang mustahil untuk kamu mementingkan cita rasa kamu sendiri. Contohnya dalam memilih pasangan. Untuk apa bersikap hipokrit andai pasangan yang kamu pilih langsung tidak menepati cita rasa kamu. Sudah tentu kamu mahu menjalinkan hubungan dalam tempoh yang lama dan berharap agar ia berkekalan. Lalu kamu sepatutnya mencari si dia yang mempunyai ciri-ciri yang kamu impikan. Walaupun tidak secara seratus peratus, sekurang-kurangnya ada juga ciri-ciri tersebut pada diri si dia.


9 - TERUS BERTANYA
Untuk mendapatkan kepastian, tentu kamu harus melemparkan pertanyaan. Walaupun pertanyaan itu bertubi-tubi, selagi tak mendapat jawapan yang pasti, selagi itulah kamu tidak akan berpuas hati. Kamu mahu bertanya sehinggalah kamu faham. Jangan rasa bersalah kalau kamu harus bertanya berulang-ulang kali. Ada kalanya pertanyaan kamu itu boleh membuatkan seseorang itu rimas dan bosan, tetapi bukan mudah untuk dia mengakui kesalahannya ataupun menjelaskan perkara yang sebenarnya.


10- MINTA NAIK GAJI/PANGKAT
Tak salah kalau kamu meminta agar gaji/pangkat kamu dinaikkan setanding dengan usaha yang telah kamu laksanakan selama ini. Sudah tentu kamu berusaha bersungguh-sungguh demi memantapkan lagi prestasi dan kualiti kerja semata-mata untuk syarikat. Jadi tidak salah kalau kamu meminta imbuhan. Memandangkan kos sara hidup semakin tinggi, kamu juga memerlukan perbelanjaan yang lebih banyak. Tapi kamu perlu yakin dan lebihkan usaha di masa akan datang.


11 - MASIH SOLO
Inilah hidup kamu! Walaupun ada kalanya kamu berasa bosan kerana masih tidak mempunyai kekasih, ia bukan salah kamu. Terpulang pada diri kamu sama ada ingin mempunyai kekasih ataupun sanggup bersendirian. Soal cemburu ataupun usikan teman-teman, ketepikan saja. Apa yang penting ialah soal hidup kamu sendiri. Bukan menjadi satu kesalahan jika kamu memilih untuk bersendirian. Mungkin kamu perlukan masa untuk mencari pasangan yang sesuai.


12 - TENTANG KEGEMARAN
Setiap orang mempunyai kegemaran ataupun hobi tertentu. Jangan risau sekiranya ada yang memperkecilkan hobi kamu. Pertahankan hobi kamu itu dan katakan yang setiap orang mempunyai perangai yang berbeza. Jangan malu-malu mengakuinya kerana ia bukanlah mengganggu kehidupan orang lain, malah menyerikan hidup mu sendiri.


13 - BIJAK DAN AKTIF
Orang yang cantik/kacak tidak semestinya bijak dan aktif. Jangan menilai paras rupa dalam menentukan tahap kebijaksanaan seseorang. Ia juga tidak boleh melabelkan seseorang itu aktif ataupun tidak hanya kerana paras rupa. Kamu patut rasa bertuah kerana dianugerahkan kebijaksanaan dan kamu juga seorang yang aktif.


14 - MEMINTA BANTUAN
Kalau tidak tahu, eloklah bertanya. Bukan cara terbaik untuk berpura-pura tahu ataupun segan mahu meminta pertolongan orang lain. Ingat, hidup dalam budaya bermasyarakat ini harus saling tolong-menolong antara satu sama lain. Kalau kamu memerlukan bantuan, jangan segan-segan meminta pertolongan daripada orang yang boleh membantu kamu menyelesaikan masalah. Jika ada yang mentertawakan kamu kerana perkara kecil pun kamu tidak tahu, terus-teranglah mengatakan lebih baik bertanya daripada jadi bodoh sombong! Tak ada faedah langsung!


15 - BUKAN BERPUNCA DARI KAMU
Ada seorang teman memarahi kamu kerana rahsianya terbongkar, sedangkan kamu bukanlah puncanya. Jadi untuk apa rasa takut kerana bukannya salah kamu. Berterusteranglah pada si dia yang kamu tidak melakukannya sebaliknya mungkin ada pihak lain yang cuba mempergunakan nama kamu. Nyatakan sebab-sebab kukuh dan relevan tentang pengakuan kamu. Yakinkan dirinya yang kamu seorang penyimpan rahsia yang boleh dipercayai. Kalau boleh selidiklah siapa yang punya angkara untuk membuktikan kamu benar-benar tidak bersalah!


16 - PANDU BERHATI-HATI
Salah satu perkara normal yang diperkatakan ialah pemandu wanita suka memandu perlahan! Selalu juga kena hon. Katakan saja pada diri sendiri yang kamu ini pemandu berhemah dan berhati-hati di jalan raya. Kalau ada pemandu lain yang membunyikan hon ataupun memarahi kamu, pedulikan saja. Janji kamu tidak melanggar peraturan lalu lintas. Kalau setiap kali kamu meminta maaf jika ada yang membunyikan hon ataupun memarahi kamu, tentu nanti ada pula yang mengambil kesempatan di atas 'kebaikan' kamu itu.


17 - ORANG MENUDUH KAMU
Jika memang bukan kamu yang lakukan, mengaku saja. Jangan biarkan orang memaksa kamu mengaku sedangkan kesalahan itu berpunca dari orang lain. Walaupun mungkin ketika itu kamu agak gelabah kerana digertak, jangan cepat meminta maaf. Bak kata pepatah, ‘Berani kerana benar, takut kerana salah.’ Kalau kamu mengaku, alamatnya kamu akan disalah sangka. Jangan sesekali mengucapkan ‘Saya minta maaf’, sedangkan dalam hati kamu meronta-ronta mengatakan bahawa kamu tidak bersalah dan menjadi mangsa keadaan.


18 - TIDAK TERLALU MEMENTINGKAN PENAMPILAN
Jangan merendah diri jika ada yang memperkatakan penampilan kamu tidak sesuai dengan perkembangan semasa. Jangan terlalu mengikut telunjuk orang dan ini membuatkan diri kamu hipokrit. Jangan takut-takut untuk membantah kalau ia tidak bersesuaian dengan jiwa kamu. Tapi kalau kamu membantah, ucapan meminta maaf bukan cara terbaik untuk dilafazkan. Ikut prinsip kamu dan jangan mudah dipengaruhi oleh orang lain.


19 - TIDAK SAMA HALUAN
Kamu mempunyai teman rapat. Ke mana saja pasti berdua bagaikan belangkas. Tetapi ada beberapa perkara yang kamu tidak boleh melakukan bersamanya iaitu kamu suka bersukan sedangkan dia gemar menonton wayang. Jika percanggahan ini berlaku, kamu harus bijak menanganinya. Katakan saja perkara ini tidak boleh dipaksa. Kamu tidak boleh memaksa dia meminati sukan dan sebaliknya. Usah minta maaf walaupun ada kalanya tercetus perselisihan faham. Walaupun rapat, suatu hari nanti, pasti akan membawa haluan sendiri. Sampai bila hendak bergantung antara satu sama lain.


20 - DIPAKSA
Sukar untuk melakukan sesuatu pekerjaan ataupun perkara yang dipaksa oleh orang lain. Jika dilakukan juga, timbul rasa jengkel dan tidak ikhlas. Jadi lebih baik tidak melakukannya dan katakan saja yang kamu tidak suka dengan tugasan tersebut. Jangan berasa bersalah dan meminta maaf kerana kamu tidak melakukan tugasan tersebut.

Sumber: Cinta Dear Haniey

cara layan suami


Tips Cinta ini telah disampaikan oleh saudari Bee di Forum Tentang Cinta.

Kehadiran suami di rumah merupakan satu rahmat kepada setiap isteri. Hanya isteri-isteri yang menderhakai suami sahaja menganggap kepulangannya suatu yang dibenci kerana dibebani dengan berbagai kerja dan tanggungjawab. Amat malang sekali jika ramai lagi isteri-isteri yang masih bersikap sedemikian. Hilanglah matlamat perkahwinan di mana isteri sebagai penenang dan penyeri rumahtangga. Di bawah ini dinyatakan cara-cara berhadapan dengan suami.

1. Semasa suami bercakap hendaklah isteri diam mendengarnya dan jangan suka menyampuk atau memotong cakapnya.

2. Bila suami marah hendaklah isteri mendiamkan diri, jangan suka menjawab. Sikap suka menjawab, bertekak dan menegakkan kebenaran sendiri akan menambahkan lagi kemarahan suami. Jangan terkejut jika suami angkat kaki meninggalkan rumah berhari-hari atau tidak tahu bertegur sapa dengan anda sebagai denda di atas kedegilan anda sebagai isteri. Sebaliknya, kalau suami kembali ke rumah jangan disambung atau diulang-ulangi cerita lama. Sambutlah suami dengan senyuman kasih sayang dan bersegeralah meminta maaf. Jangan kita tunggu suami meminta maaf dengan isteri, jatuhlah martabat keegoannya selaku seorang lelaki.

3. Kadang-kadang si suami sengaja suka mengusik isterinya. Bila dia menyakiti hati isteri hendaklah banyak bersabar, jangan cepat merajuk. Merajuk adalah sifat orang yang tidak matang dan seperti perangai keanak-anakan. Cuba kita perhatikan perangai kanak-kanak, mereka akan cepat menjerit bila ada sesuatu yang tidak kena tambahan pula kalau yang menegurnya itu ibunya sendiri. Sengaja dihentak-hentakkan kaki meraung sekuat hati meminta simpati dari ibunya.

4. Bila kuku, misai dan janggutnya panjang hendaklah segera dipotongkan (jika panjang janggutnya lebih dari segenggam). Pilihlah hari-hari yang terbaik iaitu hari Isnin, Khamis dan Jumaat.

5. Jika dia berhajat sesuatu hendaklah isteri cepat bertindak. Bangun segera bila disuruh. Jangan melengah-lengahkan kemahuannya supaya tidak mencetuskan kemarahan atau rasa tersinggung di hatinya. Jangan isteri buat acuh tak acuh, hatinya akan kecewa dan menandakan isteri sudah tidak taat padanya.

6. Hendaklah memasak mengikut kesukaan suami bukannya ikut selera isteri. Kalau suami suka makan gulai kari atau masak lemak cili api, janganlah kita masak lauk asam pedas atau ikan goreng. Suami akan gembira bila seleranya ditepati. Janganlah pula ikan yang menjadi mangsa, diketuk lengkang-lengkung hingga hancur kerana meradangkan sikap suami yang mahu lauk tersebut dimasak mengikut seleranya sedangkan isteri tidak menggemarinya.

7. Apabila pakaian suami koyak atau tercabut butangnya hendaklah segera dijahit. Jahitlah dengan secantik yang boleh supaya pakaian itu kelihatan kemas dan cantik. Jangan dibuat sambil lewa kerana jahitan tersebut akan melambangkan peribadi isteri samada ikhlas atau terpaksa. Semua suami akan berasa bangga jika pakaiannya dijahit sendiri oleh jari-jemari halus isterinya, sekurang-kurangnya dapat menampung ekonomi rumahtangga.

8. Sentiasa sediakan barang-barang keperluan di dalam poket baju dan seluar suami iaitu sikat, celak, cermin kecil, minyak wangi dan kayu sugi. Tidak menjadi kesalahan seandainya si suami menolak segala persediaan tersebut tetapi sekurang-kurangnya sediakanlah minyak wangi dan kayu sugi.

9. Bila bertembung kehendak suami dan anak-anak, dahulukanlah kehendak suami, begitu juga dengan kehendak ibu ayah. Sekiranya suami ingin dilayan hendaklah ditaati meskipun isteri berada di dalam keadaan letih. Melayani suami merupakan satu pahala besar keatas setiap isteri kecualilah jika suami kita meredhainya.

10. Apabila menggunakan harta suami ataupun duit yang hendak kita hadiahkan kepada ibu bapa maka mintalah izin darinya terlebih dahulu. Jangan beri dahulu kemudian baharu diberitahu kepadanya. Siapa tahu mungkin wang itu amat diperlukan sedangkan isteri sewenang-wenangnya telah menghadiahkan kepada orang lain, suami dapat pahala sedangkan isteri tidak dapat apa-apa. Sebenarnya meminta izin itu ialah sebelum melakukan sesuatu tindakan bukannya setelah perkara itu berlaku diberitahu. Ini silap sebenarnya tapi kes-kes seperti inilah yang sering berlaku di kalangan para isteri.

11. Sentiasa berada di dalam keadaan bersih dan kemas ketika suami berada di rumah. Isteri hendaklah berada di dalam keadaan berwangi-wangian supaya hatinya senang untuk bersenda gurau dengan isterinya.Ketahuilah bahawa bersenda gurau antara suami isteri juga merupakan salah satu ibadah yang diredhai oleh Allah swt.

12. Air minum suami hendaklah sentiasa disiapkan jangan sampai dia minta biarpun sekadar air masak sejuk. Sebaik-baiknya sediakanlah minuman panas seperti kopi, teh atau susu. Air panas elok disimpan di dalam termos supaya memudah dan menjimatkan masa kita. Kalau boleh sediakan kuih-kuih ringan seperti karipap, cucur, bubur, apam ataupun biskut kering. Hal ini juga dapat mengelak anak-anak dari membeli makanan ringan di kedai yang tidak mengandungi zat di samping tidak terjamin kebersihannya.

Akhir kata hendaklah isteri sentiasa menghormati dan memuliakan keluarga suami. Bersikap ramah-tamahlah dengan keluarganya dan bersabarlah di atas segala tindakan mereka jika ada yang bertentangan dengan syariat. Di sinilah peranan isteri untuk berdakwah kepada mereka tetapi biarlah berhikmah dan kena caranya agar setiap tindak-tanduk kita dikasihi dan dihargai oleh mereka seterusnya menjadi menantu atau ipar yang dicontohi akhlak, peribadi dan ibadahnya.

sumber : tentangcinta.com

Personaliti Lelaki


Artikel ini telah dikongsikan oleh Nurul di Forum Tentang Cinta.

Aries (21 Mac - 20 April)
Orang Nya: Anak mak! Smart mamat. Intelligent (boleh la....)
Tips utk memikat: Bagus untuk minah-minah tudung (NO OFFENCE) but its true.. Jejaka Aries suka wanita yang sopan, tata-tertib.. sebab nak bawa tunjuk mak so kena lah bawa balik yang bagus punya.
WARNING: Jika anda betol anda rasa kes ini pilihan anda, pilih lah. Kalau tidak, jangan lah main-mainkan hatinya. Hati dah luka sukar nak dibaiki. Macam moto yang dah rosak, makan bulan diworkshop baru baik.

Leo (24 Julai - 23 Ogos)
Orang nya: Penyayang, warm hearted, tidak kedekut bila mahu berkongsi kesenangan dan kemewahan dengan orang yang disayangi nya. Jejaka Leo ini juga seorang yang ambitious, self-centered tapi tak ego.(kadang-kadang je ego). Pandai berkata-kata.
Tips utk memikat: Sebagai perempuan, harus lah menunjukkan kewanitaan yang selembut-lembutnya. Kena tahu bagaimana menilai dan menghargai setiap ciri dan kualiti ada pada jejaka leo.
WARNING: Jangan.. saya ulangi.. JANGAN bercakap atau memuji lelaki lain di hadapan LEO. Mereka tak suka dibanding-bandingkan dengan orang lain.. mereka tu sensitif! Sikit sikit tak boleh, nanti merajok, balik bilang mak.

Virgo (24 Ogos - 23 September)
Orang nya: Pemalu, tak pandai mengawal emosi, ceng'eng. Suka mencari perhatian dari perempuan.
Tips utk memikat: Lelaki Virgo suka yang pendiam, tak kecoh, sofisticated, simple, jangan banyak cakap..(cerewet pulak si virgo nie) So kenalah pandai menyerlahkan nilai-nilai kewanitaan, gaya yang manis, kelembutan dan tak lupa kesabaran..(virgo ceng'eng.. kuat merajuk)
WARNING: Bila pergi dating, jangan pakai yang ter "over welming".. virgo ini gatal..(chicky duck) kalau dia over gatal, kasi jer flying kick sama dia.

Libra ( 24 September - 23 Oktober)
Orang nya: Cerewet, posessive, takes things lightly when comes to quarrel tapi jujur dlm segala hal. Suka buat keputusan `last minute`. Seringkala kontrol diri depan perempuan.
Tips utk memikat: Senang aje.. Libra suka perempuan yang ceria, happy go lucky.. SO be urself.
WARNING: So bila nak date.. makai lah make-up yg sederhana.. tapi jangan lupa cover-up pimple jika ada.. a big turn off for Libra pasal diorang ingat diorang nie semua hensem.

Scorpio ( 24 Oktober - 23 November)
Orang nya: Action serius, mudah cemburu, mood swing..
Tips utk memikat: Sentiasa menghargai nya.. nak bergayut di talifon berjam-jam pun takpe! janji dengan dia, kerana Scorpio ini macam Libra juga, posessive. Tak suka berkongsi perempuan nya dengan orang lain.
WARNING: Buat pilihan yg betol bila mahu memikat scorpio, kerana bila dah terjerat susah nak escape dari scorpio...(jangan kata tak kasi warning)

Cancer ( 22 Jun - 23 Julai)
Orang nya: Segak, Step kaya, bermurah hati, suka menunjuk-nunjuk dengan kemewahan.. tetapi mereka adalah sebalik nya..(berhati-hati ya)
Tips utk memikat: Jangan pulak anda pun nak step kaya... nanti habis duit dikebas.
WARNING: TOLONG Jangan terpedaya dengan kata manis nyer.. first first manis, kalau dah lama jadi masam.. kadang kadang jadi basi...

Sagitarius ( 23 November - 21 December)
Orang nya: Fu.. yoh.. siapa dapat memang untung... Sagitarius org nya happy aje.. suka (bergembira tepok tangan sama2.. la la la..) bawa partner jalan-jalan.. Sort of adventurous.
Tips utk memikat: Sentiasa ada kan plan bila nak keluar.. tengok wayang ke? kanoeing ke? Anything asal kan jangan membosan kan...
WARNING: Jangan "u plan.. i plan lah"..'confirm tak ada plan'.

Capricon ( 22 December - 20 Januari)
Orang Nya: Egoistic, ada batu duduk di atas itu kepala, pendek kata Capricon seorang yang sukar nak meluah kan perasaannya. Jarang sekali anda akan mendengar dia melafazkan 'cinta' pada anda.
Tips utk memikat: COOL aje sis.. nak tekel mereka bukan mudah.. jangan give in selalu.. ajar sikit.. mereka jual mahal.. kita jual lagi mahal
WARNING: Macam layang-layang putus tali.. jual mahal.. mahal jugak sis.. jangan mahal sampai terputus tali.. melepas lah kau nanti...

Aquarius ( 21 Januari - 19 Februari)
Orang Nya: Pijak semut tak mati... Suka yang cantik dan menarik perhatian.
Tips utk memikat: Kacang aje.. sentiasa berpakaian cantik, glamer.. comfirm dia sentiasa nak berkepit aje dengan you.
WARNING: Lelaki Aquarius nie cepat bosan dengan orang.. so sebelum dia tinggal kan kita.. kita blah dulu

Pisces (20 Februari - 20 Mac)
Orang Nya: Segak, bergaya, ngada-ngada, choosy.. Mudah perasan. walaupon tak hensem..
Tips utk memikat: Senyum sikit kat dia, mesti dia akan ingat sampai bila-bila.
WARNING: Mungkin bakal jadi playboya.

Taurus (21 April - 21 Mei)
Orang nya: Mencabar. garang seperti singa, takut seperti tikus. Mereka tidak tetap dengan pendirian sendiri. Suka Bantu orang lain.
Tips utk memikat: Low profile sikit, mereka suka sesuatu yg mencabar, let him find out the real you...
WARNING: Kadang-kadang diorang suka buat kelakar seorang seorang... kesian takde orang lain layan...

Gemini (22 Mei - 21 Jun)
Orang nya: Mudah Gemok! egoistic, tak suka kalah. Kalau ada debate, jangan harap anda nak menang.. dalam apa-apa persoalan jua mereka ada aje alasan nya
Tips utk memikat: Sabar aje lah.. be patient. Sebagai perempuan, mengalah lah sikit.. lambat laun hati nya akan lembut jugak.. Lelaki Gemini nie suka pada perempuan yang lembut, hatinya akan lembut jua.
WARNING: Jangan bersikap terlalu kasar dengan nya.. kalau dah tak tahan dengan mereka.. blah aje jangan banyak cakap.. mereka panas baran. Tak guna bertengkar anda tak akan menang punya pasal diorang nak menang jer.....

10 Sebab Tidak Digalakkan Pilih Suami Org


1. SI DIA TIDAK AKAN BERANI MEMBUAT SEBARANG KOMITMEN DENGAN KAMU
Seorang lelaki yang tidak bahagia dalam rumah tangganya akan pasti terasa amat gembira dengan kehadiran kamu apatah lagi dia terasa dirinya diberi sepenuh perhatian yang mungkin tidak diperoleh dari isterinya sendiri. Pasti saban masa dia akan melahirkan rasa bahagianya berada di sisi kamu. Ini mungkin kelihatan seperti komitmen terhadap masa depan kamu. Tapi, percayalah itu hanyalah kata-kata manis sekadar untuk mendapatkan cinta kamu saja!


2. SANGGUP MENIPU ISTERINYA
Sikapnya yang tak jujur terhadap isterinya sendiri sudah cukup untuk dijadikan bukti jelas kepada kamu sikap sebenar si dia yang tak jujur. Dia sanggup mencari hiburan di luar rumah apabila mendapati ada masalah atau perkara yang tidak memuaskan hatinya di rumah, tanpa cuba untuk mengatasi masalah itu. Tambahan pula, kamu menjadi punca sebenar si dia menipu kepada isterinya. Ingat, si dia mungkin akan mengulangi sikap menipu ini terhadap kamu apabila kamu berdua menghadapi masalah dalam perhubungan kamu kelak.


3. HUBUNGAN SECARA SULIT
Merahsiakan sesebuah perhubungan itu sememangnya suatu perkara yang meletihkan. Melibatkan diri di dalam perhubungan sulit seperti ini akan membuatkan kamu kehilangan keyakinan diri kerana kamu akan ketinggalan dalam pelbagai aspek perhubungan yang indah. Kamu tidak boleh berjalan berdua-duaan dengan bebas dan bangga. Ini kerana kamu akan sentiasa diselubungi oleh perasaan takut dan bimbang. Takut orang lain terlihat kamu berdua-duaan lalu mengadu kepada isteri si dia. Mati kamu kena serang!


4. LELAKI LEBIH BERUNTUNG
Apa yang dimaksudkan di sini, dia dianggap lebih bertuah dalam masa yang sama tetap mempunyai sebuah keluarga yang akan tetap menyayanginya. Sebaliknya dalam diam kamu pula yang mengalami "kerugian" kerana terpaksa berkongsi kasih dengan keluarganya yang sah. Bayangkan, kamu tidak boleh menemaninya ke majlis-majlis formal kerana sudah pasti dia akan membawa isterinya. Kamu hanyalah sebagai teman di kala ingin mengubat kesunyian atau mencari hiburan jika ada masalah di rumah saja! Kamu kena ingat, mereka boleh berkahwin lebih daripada empat!


5. MAMPUKAH KAMU MENCINTAINYA?
Persoalannya, apakah kamu masih sanggup menersukan perhubungan dengan seorang lelaki yang tidak jujur dan tidak hormat kepada isterinya? Dengan menjalinkan perhubungan secara sulit dengan kamu sudah jelas menunjukkan bahawa dia menganggap perempuan mudah untuk dipikat dan diperlakukan sewenang-wenangnya. Jika dia benar-benar menyayangi dan jujur dengan isterinya, sudah pasti dia sanggup berterus-terang. Alasan untuk tidak melukai hati isterinya bukannya alasan yang kukuh memandangkan dia sememangnya sudah melukai hati isterinya di saat dia menjalinkan hubungan dengan wanita lain!


6. SI DIA AKAN HILANG HORMAT TERHADAP KAMU
Jangan terkejut! Walaupun dia yang jatuh cinta pada kamu dan menarik minat kamu, di dalam hati lelakinya dia pasti akan pandang rendah terhadap wanita seperti kamu yang mudah terpedaya dengan kata-kata lelaki sepertinya. Siapa tahu, mungkin pada awalnya dia sekadar nak "test market" saja. Tak sangka pula kamu benar-benar terpikat. Lelaki pula, mana yang sanggup menolak tuah kan? Dalam keadaan seperti inilah yang selalunya akan timbul soal dipermainkan.


7. PEMUSNAH RUMAH TANGGA ORANG LAIN
Ingat! Sebagai wanita, kamu seharusnya lebih memahami perasaan dan naluri kaum sejenis kamu. Dengan menjalinkan hubungan dengan suami wanita lain, menunjukkan bahawa kamu tidak menghormati hak kaum kamu sendiri. Bayangkan jika hak kamu diganggu atau cuba dirampas oleh orang lain? Sebaliknya ada pula yang sanggup berkomplot dengan si lelaki untuk menipu isterinya. Ingat, jika hari ini kamu mengambil hak orang lain, tak mustahil orang lain pula akan mengambil hak kamu suatu hari nanti! Renungkan!


8. KAMU MENIPU DIRI SENDIRI
Si dia sentiasa mengucapkan kata-kata manis pada kamu tetapi masih tidak menamatkan perhubungannya dengan isterinya dan pada masa yang sama masih tidak memulakan perhubungan yang sah dengan kamu. Inilah yang dikatakan sebagai "Action that speak louder than words" (pandai cakap tapi buatnya tidak!)


9. BERWASPADALAH DENGAN "BOOMERANG KESALAHAN"
Kebanyakan orang tak kira sama ada wanita tau lelaki mempunyai sikap sukar untuk bertanggungjawab terhadap keputusan dan tindakan yang mereka lakukan secara terburu-buru. Manusia lebih mudah untuk mencari kesalahan orang lain daripada menanggung malu. Jika perbuatan si dia diketahui oleh isterinya atau saudara-mara, jangan terkejut jika dia menyalahkan kamu lalu membuatkan kamu terpaksa menanggung segala derita. Haiiiii Kasih ke mana, sayang ke mana. Tinggal kamu seorang yang menderita !


10. MASA ITU EMAS! DAN KAMU TIDAK SEPATUTNYA MENSIA-SIAKANNYA
Hubungan dengan lelaki yang telah berkahwin boleh berlanjutan selama beberapa tahun. Sedar tak sedar, usia kamu semakin meningkat. Apabila kamu sudah tua baru kamu sedar yang kamu terjerat dan tak boleh melarikan diri lagi. Jika boleh melarikan diri pun, kamu sudah tidak tahu apa yang patut kamu lakukan. Terasa begitu lama kamu mempersiakan zaman muda kamu menjalinkan hubungan yang TAK BERMAKNA!

Renung-renungkanlah sejauh mana kebenaran di sebalik apa yang cuba disampaikan. Moga boleh dijadikan panduan pada kita semua...khususnya wanita...

sumber : tentangcinta.com

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grocery Coupons